Friday, November 11, 2011

Hati Yang Cedera - peringatan untuk semua

Bila jiwa kacau risau tentang masa depan,
Bila hati sesak dengan karenah manusia yang tidak memahami,
Bila jiwa sukar berlapang dada,
Bila hati disempitkan dengan sangkaan buruk terhadap saudara lain,
Bila hati sentiasa ingin marah,
Bila hati mula berjinak dengan nafsu yang Allah tidak redha.

Bila akal lupa tujuan asal hidup,
Bila diri terasa enak berlingkar dengan maksiat,
Bila hati puas melakukan perkara yang tidak berbuah amal,
Bila jasad duduk enak tanpa berbuat ma'aruf.

Bila air mata terlalu sukar untuk dititiskan untuk-Nya,
Bila hati mula mengeras,
Bila fikiran melayang untuk perkara sia-sia,
Bila hati mula berputus asa terhadap rahmat dan nikmat-Nya.

Bila diri mula meminta yang berlebihan,
Bila hati mula meminta untuk yang bukan haq,
Bila diri rasa sudah cukup,
Bila lidah terlalu keras untuk mengalunkan zikir.

Bila cemburu terhadap nikmat dan rezeki insan lain,
Bila diri berpura baik di hadapan manusia,
Bila hati merasa perbuatan dosa sebagai tidak apa,
Bila diri sentiasa mahu dipuji.

Bila hati tidak yakin dengan janji-Nya,
Bila diri menyesal dengan setiap taqdir-Nya,
Bila hati sentiasa mencari aib dan salah orang lain,
Bila diri sentiasa ingin memuaskan selain dari Allah.

Bila hati merasa bebas dari jagaan Allah,
Bila merasa diri milik mutlaq diri sendiri,
Bila hati merasa aman melanggar amanah,
Bila merasakan tiada yang lebih penting melainkan diri sendiri.

Bila diri terlalu banyak beralasan,
Bila setiap perbuatan tidak terniat untuk Allah,
Bila diri mula berasa berat untuk sembah dan sujud kepada-Nya,
Bila telinga lebih enak dilagukan dengan selain ayat-ayat suci-Nya.

Bila mulut lebih senang berbicara tentang dunia dari manisnya syurga,
Bila redha manusia lebih dicari daripada redha Allah,
Bila merasa cinta manusia lebih asyik daripada cinta Allah,
Bila hati tidak rindu untuk bertemu-Nya,
Bila hati mula disempitkan dengan dunia,
Bila diri sombong tidak mahu meminta kepada-Nya,
Bila setiap akal, jiwa dan jasad terikat dengan dunia.


Copy paste dari sini

Wednesday, June 22, 2011

Sangkarku Terkunci


Langit indah berawan,

Mentari sinar menawan,

Persis si gadis perawan,

Senyum manis lagi menawan.


Hujan turun tak berhenti,

Seolah membaca rawannya hati,

Ku halau hujan di hati,

Akan ku nanti kasihnya pelangi.


Di kala petir dan hujan berganti pergi,

Pelangi berlalu tak muncul kembali,

Datangnya beburung kicaunya tak henti,

Meraikan datangnya sinar mentari.


Tuesday, June 21, 2011

Cerita dari Istana

Seperti biasa kelas menjadi riuh-rendah ketika waktu senggang antara pertukaran waktu pelajaran.

Ada pelajar yang menggeletek kawan di sebelah, ada yang mencucuk pen ke punggung rakan di hadapan, ada yang tekun belajar dan ada juga yang masih nyenyak tidur semenjak pagi tadi.

Memang sudah menjadi lumrah dan pemandangan ini sangat biasa lebih- lebih lagi di kalangan Bani Melayu yang memang terkenal dengan kePerkasaannya.

Derapan tapak kaki ke kelas H di pinggir bangunan sekolah mematikan suasana, dan dengan serta merta suasana menjadi sunyi sepi seperti sebuah upacara pengkebumian lagaknya.

"Assalamualaikum cikgu!" Serentak seisi kelas memberi ucapan selamat kepada cikgu Rahimah.

"Walaikumussalam " serentak dengan jawapan salam itu, semua pelajar duduk dan meneruskan kelas dengan bacaan doa diketuai Munif.

"Hari ini, sebelum mula mengajar, cikgu nak sampaikan sebuah cerita. Cerita ini bukan sebarang cerita tetapi sebuah cerita didatangkan khas dari istana"

Semua pelajar tak pasal-pasal menjadi begitu tekun dan memberi sepenuh perhatian. Usin Jenglot yang tidur sejak pagi tadi terbeliak terus matanya tak tutup-tutup. Amin gambu yang asyik menjolok pen ke dubur Man Kusam langsung terlepas pennya dari tangan manakala Syafiq Lidi dari tadi asik bergeletek berganti-ganti dengan Din kepayang terus keras seperti patung menantikan butir kata seterusnya dari Cikgu Rahimah.

***************************************( bersambung)

Friday, May 6, 2011

Semusim Untuk Abah- Mango Lasi


" Hallooo Yussoff, can you come to work today please..? Jay is sick and cant'come" terdengar jelas suara Rushdi di hujung talian.

Semenjak kerja dia dibawah Rushdi, Usop banyak belajar tentang realiti kehidupan. Tidak semua apa yang kita lihat itu seperti apa yang kita sangka atau harapkan.

Boleh dikatakan hampir setiap malam Rushdi menelefon. Ada sahaja pekerja yang sakit, culas dan curi tulang. Namun jarang sekali Usop dapat melihat kelibat bosnya yang jarang-jarang ada di waktu-waktu sibuk.

Lagi seminggu genap 2 bulan Usop bekerja di restoran makanan India . Minggu pertama bekerja, layanan yang diterima oleh Usop agak baik. Namun semua itu mungkin kerana Rushdi berada di restoran dan kerap ke dapur untuk memastikan Usop selesa dan dapat menyesuaikan diri dengan kerja-kerja membasuh pinggan dan mengemas restoran.

Kerja mula dirasakan semakin berat apabila masuk ke penghujung bulan pertama. Rushdi jarang-jarang ada di restoran, menjadikan skop kerja Usop menjadi tidak tetap. Kalau awal-awal dulu cuma membasuh pinggan, namun sekarang Pooja mengambil kesempatan menyuruh Usop mengelap pinggan dan cawan yang sememangnya tugas seorang waiter, bukan dishwasher. Chef pula sering marah-marah dan mencarut dalam bahasa Hindi atas kesalahan-kesalahan kecil yang tidak disengajakan Usop. Pernah sekali Usop disimbah air cedokan periuk yang panas kerana Chef tidak berpuas hati dengan Usop.

Tuesday, March 8, 2011

Terperangkap...

Lokasi: unknown
Masa: 8 pm
Tarikh: 31 Julai

"Gelap sangat ni aku tak nampak apa-apa," getus Sarjan Ramzi dalam hati.

Semenjak semalam, pasukan komando elit beliau telah terpisah gara-gara ambush zon A yang gagal. Dia masih tidak dapat mengingati detik-detik kejadian bagaimana konvoi mereka diserang hendap dan dia terpisah dengan 4 orang krew anggota elit kumpulannya. Yang dia pasti, dia kini berada dalam sebuah terowong yang gelap gelita.

"Barangkali mungkin budak-budak ni pon sama-sama terperangkap di sini" fikir Sarjan Ramzi.

Thursday, January 27, 2011

Semusim Untuk Abah

Yussoff bin Mamat. Kalau masuk ke ceruk mana-mana kampong di Hulu Terengganu dan anda ingin mencari seseorang bernama Yussoff bin Mamat. Jangan bermimpi untuk ketemu. Panggilan Yussoff atau panggilan Mamat adalah terlalu sterotaip sehinggakan dalam Kampung Tajin sahaja sudah ada lima orang Mamat. Itu belum dikira Mamat dari Kampung Gaung, Kampung Pauh dan Kampung Imam Lapar. Panggilan kampong untuk Yussoff pula adalah nama lain yang mungkin Kassim, Bedul atau Mat Usop. Boleh naik sawan dibuatnya kalau turun ke sana mencari Yussoff bin Mamat.

Tapi kalau di Dunedin, New Zealand, sebut sahaja Yussoff Mamat semua orang pasti kenal. Yussoff memang terkenal sebagai seorang pelajar cemerlang tidak kira dikalangan Malaysian mahupun Kiwi. Anak kampung yang Lebong habis, semua benda nak discorenya. Health Science First year? Habis dibalunnya A plus semua subjek dengan penuh padu dan jitu. Bertali arus surat dari HOD mempelawanya menyambung Degree dalam subjek mereka. Biochemistry, Statistics,Biology, Chemistry, English, dan Fizik.

Wednesday, January 19, 2011

Adi dan Guli

Adi sangat-sangat meluat melihat 'peel' budak-budak zaman sekarang . Bukannya apa, apabila dibagi guli mesti mereka tak tahu nak buat apa. Gasing, layang-layang, dan macam-macam permainan tradisional lain memang jangan harap diorang ambil port!Bunyinya agak kuno tapi ini adalah kenyataan.

Tapi kalau bab-bab permainan video, PSP, XBOX dan sebagainya memang tidak mahu kalah. Mungkin kerana teknologi-teknologi dan ibu bapa yang semakin berkemampuan maka permainan- permainan ' kuno' yang diminati Adib itu sudah luput dan lekang dari hati mereka.

Kalau zaman-zaman era 80-an dan awal 90-an, seingat-ingat Adi, kanak-kanak sepertinya keluar rumah bebas bermain, membuas dan kemudian sampai waktu pulang tetapi zaman sekarang kanak-kanak sibuk tuisyen sana -sini dan kemudian menghabiskan sisa masa dengan astro, xbox, psp, ps3, dan facebok. Mungkin juga kerana faktor keselamatan yang tidak terjamin sekarang menjadikannya begitu. Dulu mana ada abang kucing!