Friday, May 6, 2011

Semusim Untuk Abah- Mango Lasi


" Hallooo Yussoff, can you come to work today please..? Jay is sick and cant'come" terdengar jelas suara Rushdi di hujung talian.

Semenjak kerja dia dibawah Rushdi, Usop banyak belajar tentang realiti kehidupan. Tidak semua apa yang kita lihat itu seperti apa yang kita sangka atau harapkan.

Boleh dikatakan hampir setiap malam Rushdi menelefon. Ada sahaja pekerja yang sakit, culas dan curi tulang. Namun jarang sekali Usop dapat melihat kelibat bosnya yang jarang-jarang ada di waktu-waktu sibuk.

Lagi seminggu genap 2 bulan Usop bekerja di restoran makanan India . Minggu pertama bekerja, layanan yang diterima oleh Usop agak baik. Namun semua itu mungkin kerana Rushdi berada di restoran dan kerap ke dapur untuk memastikan Usop selesa dan dapat menyesuaikan diri dengan kerja-kerja membasuh pinggan dan mengemas restoran.

Kerja mula dirasakan semakin berat apabila masuk ke penghujung bulan pertama. Rushdi jarang-jarang ada di restoran, menjadikan skop kerja Usop menjadi tidak tetap. Kalau awal-awal dulu cuma membasuh pinggan, namun sekarang Pooja mengambil kesempatan menyuruh Usop mengelap pinggan dan cawan yang sememangnya tugas seorang waiter, bukan dishwasher. Chef pula sering marah-marah dan mencarut dalam bahasa Hindi atas kesalahan-kesalahan kecil yang tidak disengajakan Usop. Pernah sekali Usop disimbah air cedokan periuk yang panas kerana Chef tidak berpuas hati dengan Usop.